Mycoplasma mudah merebak
Mycoplasma mudah merebak
Antara punca demam selesema berpanjangan ialah jangkitan disebabkan oleh bakteria yang dipanggil mycoplasma. Mycoplasma adalah bakteria yang biasanya menjangkiti saluran pernafasan manusia. Ia merebak melalui titisan udara dari pesakit yang mengalami jangkitan ini.
Ia juga senang merebak terutama di kawasan yang ada ramai manusia pada satu masa seperti pusat jagaan dan kolej. Bakteria ini hanya menunjukkan simptom selepas seminggu hingga empat minggu berada dalam badan pesakit.
Ia biasanya bermula dengan demam, selesema, sakit badan, sakit sendi, sakit kepala dan juga batuk. Dalam kebanyakan kes, jangkitan ini akan berakhir dalam tiga hingga lima hari saja.
Namun bagi pesakit, terutama kanak-kanak dan warga emas, kuman ini merebak dengan cepat, menyebabkan demam berpanjangan. Pesakit mula mengalami batuk berkahak, nafas berbunyi dan ada kalanya sesak nafas.
Sesak nafas berlaku disebabkan oleh jangkitan yang merebak dari rongga atas pernafasan ke bahagian paru-paru pesakit. Ia menyebabkan jangkitan atau radang paru-paru yang dipanggil pneumonia.
Hampir 40 peratus daripada pesakit yang dijangkiti mycoplasma cenderung untuk mendapat jangkitan paru-paru. Tanda jangkitan ialah demam yang menjadi terlalu panas dan batuk berkahak. Bagi kanak-kanak, mereka mula hilang selera makan dan ada kalanya muntah.
Dalam kebanyakan jangkitan, pesakit boleh dirawat sebagai pesakit luar di mana ubat dan juga antibiotik yang sesuai diberikan kepada pesakit untuk membunuh mycoplasma. Jika antibiotik tidak sesuai diberikan, jangkitan merebak dan akhirnya terjadi pneumonia (radang paru-paru).
Jika suhu badan semakin sukar dikawal pula, pesakit perlu dimasukkan ke hospital, di mana cecair intravena akan diberikan selain ubat suntikan yang sesuai untuk mengawal jangkitan dan merawat pneumonia.
Pemeriksaan di klinik dapat menentukan sama ada seseorang pesakit itu menghidap jangkitan paru-paru atau tidak. Ujian darah pula boleh menentukan kadar jangkitan dan ujian darah khas untuk mengesahkan sama ada pesakit berkenaan mempunyai jangkitan mycoplasma atau tidak.
Ujian ini boleh dilakukan di hospital. Pemeriksaan sinaran x paru-paru dapat bantu mengesahkan jangkitan itu. Kes kematian untuk jangkitan mycoplasma ini sangat sedikit.
Namun, penting untuk mengawal jangkitan dan suhu badan pesakit, terutama kanak-kanak, bagi mengelak komplikasi akibat suhu badan yang tinggi seperti sawan demam.
Ia penting supaya pesakit dibawa ke hospital jika demam dan batuk berpanjangan walaupun setelah diberikan antibiotik oleh klinik. Buat masa ini, masih tidak ada vaksin untuk jangkitan mycoplasma.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Februari 2015 @ 5:00 AM
0 Comments:
Post a Comment