myMetro | Tuntutan atau trend?
Oleh Murshid Eunos
Pemakaian tudung mencetus satu fenomena tersendiri apabila ramai golongan kaum hawa kini mula menyedari akan kewajipan dituntut agama. Ledakan itu turut tempias kepada cabang bisnes dan rekaan kreatif tudung.
Bagaimanapun timbul persoalan terhadap pemakaian itu selepas ia ditransformasikan dengan pelbagai fesyen sehingga ‘hilang’ tujuan sebenar seperti disyariatkan dalam Islam.
Mungkin kerana pengaruh ramai selebriti yang bertudung dan difikirkan sebagai satu fesyen. Visualnya, mereka (selebriti) lebih tampak cantik dan berseri.
Itu lebih membuatkan mereka ingin mencuba dan melakukan eksperimen kepada penampilan diri hingga meletak tepi yang memakai tudung adalah kewajipan dan bukannya atas nama ketrampilan.
Menutup aurat adalah perkara wajib, tapi kalau setakat bertudung, hanya menutup kepala, tidak mengambil berat isu jenis kain dan saiz bidang, apakah pemakaian tudung itu tuntutan atau sebaliknya?
Fesyen memang dibolehkan, Islam tidak melarang untuk berfesyen. Dalam al-Quran tercatat: “Dan katakanlah kepada wanita-wanita yang beriman, hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara keaibannya dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang biasa nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan khumur (jilbab)nya ke dadanya”. (QS. An-Nur : 30-31)
Kalau dilihat, fesyen bertudung kebanyakan pendek di bahagian dada, tapi labuh di bahagian belakang. Tapi Allah, memerintahkan ‘labuh di bahagian dada’.
Perkara ini, dilihat sebagai perbezaan wanita Islam dan wanita rahib, takut-takut melalui fesyen itu, menjadikan kita termasuk dalam kalangan yang tidak sepatutnya, seperti mana hadis Nabi: “Barang siapa yang meniru sesuatu kaum, maka ia termasuk dari kalangan mereka.”
Rata-rata gadis kini menggayakan pelbagai fesyen, daripada tudung bawal ke selendang dan terbaru, turban yang menampakkan bentuk leher. Kadang-kadang jika berbalik dari sudut agama, jelas lari daripada konsep sebenar.
Ingin kelihatan cantik tidak salah dan itu memang lumrah setiap manusia, lebih-lebih lagi golongan hawa.
Gen.Y tertarik ingin mendengar sendiri komen dan pandangan remaja mengenai situasi yang berlaku ini. Adakah ia satu fesyen atau pengaruh sekeliling yang membuatkan gadis bertudung mengetepikan hukum dan mengambil kira soal perubahan fesyen yang tidak menepati syarak.
Terkenang kata-kata Ustaz Don Daniel, yang menyatakan: “Lilitlah tudung apa yang kamu nak pakai, asal tutup bawah paras dada, pakailah baju berjenama apa pun, asal longgar dan tidak menampakkan susuk tubuh badan kerana Islam itu memelihara kaum wanita.”
Ikut niat
“Berhijab satu tuntutan kerana Nabi Muhammad SAW bersabda: “Bahawa anak perempuan apabila cukup umurnya, maka mereka tidak boleh dilihat akan dia, melainkan mukanya dan dua tapak tangannya hingga pergelangan.”
“Tidak salah, jika kita ingin mengikut fesyen atau trend, tetapi haruslah mengikut syariat yang telah ditetapkan. Bagi saya, tuntutan atau fesyen terpulang kepada si pemakai, kerana mereka lebih tahu sama ada pakaian itu sekadar berfesyen atau sebaliknya.
“Memang tidak dinafikan, ada orang yang memakai hijab merasakan tidak cantik kalau tidak ketat dan sebagainya. Tidak salah untuk cantik, tetapi biarlah aurat itu dipelihara dan dijaga, ingin cantik adalah fitrah manusia. Tidak salah untuk cantik kerana Allah juga sukakan kecantikan.”
Nama: Saidatul Najah Khairul Anuar
Umur: 20 tahun
Lokasi: Ipoh
E-mail: najahkhairul@yahoo.com
Fesyen tapi...
“Bagi saya, pemakaian tudung telah dijadikan seperti trend, apabila wujudnya pelbagai fesyen tudung yang pendek, jarang dan mempunyai bonggol di kepala, nampak pelik tetapi menjadi kegilaan orang ramai.
“Seperti contoh fenomena sekarang, fesyen anak kepala ala-ala ninja, terang-terang menampakkan bentuk leher dan sebagainya. Perkara ini jelas, menjadi trend di kalangan gadis mahupun makcik-makcik.
“Jujurnya, terpulang kepada niat individu yang memakai sama ada suka-suka atau mengikut trend. Walaupun fesyen itu dibolehkan dalam Islam, tetapi janganlah kita mengambil mudah.”
Nama: Liyana Omar
Umur: 21 tahun
Lokasi: Kuala Lumpur
E-mail: iyana-yana2001@yahoo.com
Kepala dah tutup, tapi...
“Tudung pada masa kini, saya nampak lebih kepada trend, kerana ramai gadis bertudung lebih kepada ikutan. Terutama perkembangan luar, yang memodenkan pemakaian hijab, kadang-kadang sudah merupai cara tudung orang yang bukan agama Islam. Bila ditanya, mereka hanya mengatakan Islam itu mudah boleh berfesyen, tetapi kita sendiri lupa benda kecil itulah di sisi Allah sangat besar.
“Bagi saya, perkara ini sudah lari daripada hukum sebenar, kadang-kadang agak keterlaluan saya melihat, menutup aurat, baju jarang, nampak susuk tubuh badan, tidak pun tudung dah cantik, nampak pula leher.
“Tapi pada saya, soal pemakaian boleh dibentuk mengikut syariat, jadi tidak salah kita belajar dan terus belajar mengenai hukum pemakaian seperti yang ditetapkan dalam al-Quran.”
Nama: Raja Nur Anis Sofie Raja Sharil
Umur: 20 tahun
Lokasi: Ampang
E-mail: raja.suefiqa@gmail.com
0 Comments:
Post a Comment