Header Ads

Header ADS

Orang minyak dah masuk botol???

Alhamdulillah kalau benar seperti dikatakan di akhbar Sinar Harian semalam.. Dah tak risau la nak tinggalkan wife dan anak untuk keluar beli barang di NSK malam-malam.. huhuhuhu


Orang minyak masuk botol
Wartawan Sinar Harian
January 16, 2012
GOMBAK – Tiga pakar ilmu Islam bergabung. Pengalaman dan ilmu digunakan sepenuhnya. Biarpun terpaksa berhempas pulas lebih dua jam, misi memerangkap orang minyak berakhir dengan jaya.

Melegakan penduduk kampung, bukan hanya orang minyak yang masuk perangkap, gangguan sampingan oleh jin-jin lain turut tumpas. Kesudahan misi, 25 botol digunakan untuk memerangkap jin-jin terbabit, termasuklah jelmaan jin orang minyak yang menjadi ibu gangguan misteri di kampung tersebut.

Pengamal Perubatan Darul Muhsinin, Ustaz Othman Mohd Salleh ketika ditemui Sinar Harian berkata, dia yakin makhluk dikaitkan dengan kehadiran orang minyak di kampung itu dapat diperangkap.

Menurutnya, lima jin utama yang berada sekitar kawasan kampung itu telah diperangkap dan dimasukkan ke dalam botol.

“Orang minyak itu adalah jel­maan jin, jika pengamalnya menggunakan minyak maka jin atau khadamnya akan muncul dalam bentuk itu dan dengan kuasa ALLAH, saya yakin salah satu daripadanya jelmaaan makhluk yang dikatakan orang minyak itu dapat diperangkap ,” katanya.

Upacara pembersihan dengan doa dan ayat suci al-Quran dilakukan jam 11.30 malam semalam, di sebuah rumah dibantu seorang wanita yang menjadi pengantara.

Program bermula dengan soal jawab dilakukan Ustaz Othman melalui jin yang memasuki tubuh wanita sebelum satu persatu jin diperangkap dan dimasukkan ke dalam botol.

Perjalanan upacara terganggu seketika selepas jin-jin yang hadir terlalu banyak di dalam rumah itu menyebabkan dua lagi ustaz daripada Perubatan Syifa’ Al-Ikhlas dipanggil.

Kehadiran dua ustaz nyata membantu, apabila satu persatu jin yang dikatakan mula memenuhi segenap pelosok rumah berkenaan berjaya diperangkap.

Tepat jam 1.45 pagi upacara tersebut selesai dan terdapat 25 jin berjaya diperangkap dan dimasukkan ke dalam botol.

Jari hitam ubah siaran TV
Wartawan Sinar Harian
January 16, 2012

GOMBAK – Diganggu orang minyak ketika berada di dalam rumah adalah antara pengala­man yang tidak dapat dilupakan oleh seorang kanak perempuan berusia 8 tahun.

Kanak-kanak terbabit, Nurul Aishah Abdul Jamal berkata, dia terkejut selepas terpandang jari berwarna hitam tiba-tiba muncul dan menukar siaran televisyen kira-kira 10.45 malam, 31 Disember lalu.

Menceritakan kisah itu, Nurul Aishah berkata, dia pada mulanya mengagak kakaknya sedang bergurau untuk menakut-nakutkannya.

“Bila saya toleh ke kiri saya nampak orang warna hitam, kurus dan tinggi, macam tidak pakai seluar berdiri di dalam bilik dan kemudian hilang begitu sahaja,” katanya ketika ditemui.

Difahamkan ketika kejadian dia sedang menonton siaran Astro Ceria sebelum rancangan itu berubah ke siaran TV3.

Sementara itu, bapanya, Abdul Jamal Mohd Isa, 53, berkata, anaknya itu hanya menceritakan tentang perkara yang dialami sehari selepas kejadian itu.

“Ketika kejadian ibu dan kakaknya berada di rumah dia langsung tidak cerita apa-apa sehinggalah keesokannya, itu pun setelah dia ternampak seorang lelaki bertubuh gelap,” katanya.

Menurutnya kejadian itu benar-benar menakutkan, namun dia bersyukur anaknya tidak trauma dan tidak diapa-apakan oleh makhluk itu.

“Pelik sebab ketika kejadian di luar rumah ramai penduduk sedang sibuk menyiapkan makanan untuk sambutan tahun baru 2012, jadi berkemungkinan makhluk cuba mengambil kesempatan muncul di dalam rumah,” katanya.

Difahamkan kejadian yang menimpa anaknya itu merupakan kali kedua dilaporkan berlaku di pangsapuri berkenaan sebelum ini.

No comments

Powered by Blogger.