Header Ads

Header ADS

Rumah Tak Siap-Siap...

Rumah tak siap-siap
Oleh Md Fuzi Abd Lateh
mdfuzi@hmetro.com.my


Gambar sekadar hiasan sahaja

 HULU BERNAM: “Bantulah kami yang sudah lama menunggu untuk tinggal di rumah baru. Kerajaan negeri perlu bertanggungjawab sepenuhnya,” kata Noor Zaidi Yak, 45, yang kesal berikutan projek perumahan Taman Malimas terbengkalai sejak lapan tahun itu.

Menurutnya, dia antara 117 pembeli rumah teres setingkat berharga RM80,000 hingga RM106,000 yang dibeli sejak 2004.

Katanya, selain tertekan dengan tuntutan hutang bank pembeli juga kecewa dan kesal dengan tindakan kerajaan negeri yang gagal menyelesaikan masalah itu.

“Rumah kami terbiar serta dipenuhi semak-samun dan belukar yang tebal. Kami sedih melihat rumah idaman tidak dapat diduduki bersama keluarga. Kerajaan negeri salah melantik kontraktor pembinaan rumah yang dijadualkan disiapkan pada 2008 lalu.

“Beberapa pertemuan diatur pembeli dengan wakil kerajaan negeri namun belum dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat ini,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, Exco kerajaan Selangor melantik sebuah syarikat untuk menguruskan masalah itu namun tidak berhasil sepenuhnya.

Katanya, pada Disember 2008 lalu, beberapa pembeli mengadakan pertemuan dengan wakil kerajaan negeri untuk memohon bantuan menyelesaikan masalah yang menghantui mereka sejak beberapa tahun lalu itu.

Ahli Jawatankuasa Badan Bertindak Persatuan Penduduk Perumahan Taman Malimas, Azhar Che Ri, 43, berkata, mereka sudah mencari beberapa kaedah penyelesaian namun masih gagal kerana tidak mendapat komitmen daripada wakil syarikat dilantik kerajaan negeri itu.

Katanya, mereka dihalang untuk bertindak lebih jauh apabila syarikat terbabit enggan memberikan kerjasama.

“Kami cuba berunding dengan cara berhemah, tetapi dilayan buruk pihak syarikat itu. Kami mohon kerajaan Pusat campur tangan menyelesaikan masalah ini.

“Pembeli pernah membuat bayaran tambahan RM15,000 kepada syarikat terbabit untuk kos tambahan yang diperlukan namun masih hampa dan kecewa,” katanya.

Azhar berkata, pembeli juga dibebani masalah cukai taksiran yang dikenakan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Hulu Selangor yang semakin meningkat mengikut tahun.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Bernam, Datuk Mohamed Idris Abu Bakar, berkata kerajaan negeri sepatutnya bertanggungjawab menyelesaikan masalah pembeli di taman itu dengan segera.

Menurutnya, janji mereka perlu dilunaskan bertepatan hasrat untuk menyelesaikan 114 projek rumah terbengkalai di negeri itu.

“Saya melihat pembinaan rumah di taman itu pada awalnya mampu diselesaikan kerana sudah 60 peratus rumah disiapkan. Namun selepas mereka mengambil alih kerajaan negeri pada 2008 rumah itu terbiar dan terbengkalai,” katanya.

p/s : Ini salah satu situasi yang melanda kami dan sentiasa berlaku... nak beli rumah yang belum ada depan mata... kami risaukan masalah ini.. kalau beli yang dah ada depan mata plak.. harga melambung sebab harga dah dimainkan oleh orang ketiga... Kerajaan cari lah penyelesaian terhadap isu ini... Sebab masalah ini dah terlalu banyak berlaku... dan terus berlaku... kesian plak bila baca cerita ni.. sebab ayah ataicha dulu pun pernah terkena... dan abang ipar pun dah terkena... so fobia masih ada... untuk beli rumah yang belum ada memang mengerunkan... nasihat cari pemaju yang ada rekod bersih sebelum membeli rumah tersebut...

No comments

Powered by Blogger.